Beranda > Skripsi Industri > Kesan Pemukulan ke atas Gentian Sekunder Kotak Bod Gelugor Lama

Kesan Pemukulan ke atas Gentian Sekunder Kotak Bod Gelugor Lama

Januari 10, 2010

Penyelidikan ini bertujuan untuk mengkaji kesan pemukulan terhadap sifat-sifat fizikal, mekanikal dan optikal kertas. Pemukulan merupakan suatu proses yang penting dalam menentukan tahap dan kualiti sesuatu kertas. Pulpa yang digunakan di dalam penyelidikan ini adalah pulpa sekunder daripada kotak bod gelugor lama (OCC). Dalam penyelidikan ini, pemukulan dilakukan dengan mengunakan Valley Beater dan 9 jenis masa pemukulan dikaji iaitu 0, 15, 30, 45, 60, 75, 90, 105, dan 120 minit. Keputusan penyelidikan menunjukkan bahawa pemukulan akan menyebabkan berlakunya perubahan di dalam sifat fizikal iaitu meningkatnya ketumpatan. Dari segi sifat mekanikal, pemukulan akan meningkatkan indeks tensil dan indeks pecahan. Indeks koyakan selepas sedikit pemukulan akan meningkat, tetapi akan menurun apabila pemukulan terus dilakukan. Pemukulan juga memberi kesan kepada sifat optikal iaitu berlakunya peningkatan di dalam kelegapan tetapi akan menurunkan kecerahan. Kesan pemukulan terhadap kebebasan dan masa penyaliran juga dikaji.

Kertas boleh didefinisikan sebagai suatu lapisan atau jaringan (web) berterusan yang dihasilkan daripada pemendapan gentian yang saling berikatan antara satu sama lain dengan ditambahkan atau tidak ditambahkan bahan lain. Kertas merupakan bahan keperluan yang sangat penting bagi manusia. Pada masa sekarang ini kertas bukan sahaja berperan sebagai bahan penulisan dan percetakan tapi juga telah meluas ke dalam sektor-sektor perindustrian sebagai bahan pembungkusan, pemadatan, penggunaan struktur dan bahan pembinaan.
Kertas terbina daripada jaringan-jaringan gentian. Gentian-gentian ini dapat diperolehi dari tumbuh-tumbuhan, haiwan, mineral dan sintetik. Gentian dapat dikelaskan kepada dua jenis iaitu gentian primer (dara) dan gentian sekunder. Gentian primer diperolehi daripada tumbuhan tanpa mengalami sebarang perubahan dari segi fizikal. Gentian sekunder dapat ditakrifkan sebagai mana-mana bahan bergentian yang telah melalui proses penghasilan dan diulang semula sebagai bahan mentah untuk tujuan produk-produk lain.
Penggunaan gentian sekunder dalam pembuatan kertas memberikan beberapa kelebihan seperti :
1. Mengurangkan penggunaan pulpa dara, maka mengurangi bilangan pokok yang ditebang.
2. Kos bahan mentah yang murah, banyak, dan senang diperolehi.
3. Mengelakkan berlakunya pembaziran.

Dalam penyelidikan ini sumber gentian sekunder yang digunakan berasal dari kotak bod gelugor lama (OCC). kotak bod gelugor lama (OCC) banyak digunakan dalam bidang pembungkusan dan merupakan sumber terulang yang mudah di dapati dimana-mana tempat. Kebanyakan kotak bod gelugor lama akan dibuang begitu sahaja apabila tidak digunakan lagi. Pembaziran ini boleh dielakkan dengan mengumpulkan kotak bod gelugor lama tersebut kemudian menjualnya ke kilang-kilang untuk diproses semula menjadi kertas atau produk-produk lain.
Proses pemukulan merupakan suatu proses penting dalam pembuatan kertas yang baik. Pemukulan akan membantu kertas yang terhasil mencapai performans yang optimum. Proses pemukulan akan meningkatkan performans kertas-kertas yang telah mengalami pengulangan sehingga kekuatan dan ketahanan kertas kitar semula adalah setanding dengan kertas yang terbuat dari pulpa dara. Pemukulan dalam penyelidikan ini menggunakan Valley beater.
Pada hari ini, perkembangan industri kertas telah meningkat sangat besar kerana kefungsian kertas yang pelbagai. Hal ini menyebabkan timbulnya masalah bekalan bahan mentah yang tidak mencukupi dan sukar didapati. Untuk memastikan pembekalan kertas adalah berterusan, langkah-langkah telah diambil dengan menggunakan bahan-bahan edar ulang seperti kertas surat khabar lama, kotak bod gelugor lama (OCC), serta bahan-bahan buangan lain dan diproses semula untuk dijadikan kertas. Langkah ini dapat menjimatkan penggunaan pulpa dara sebagai bahan mentah pembuatan kertas. Pembaziran juga dapat dielakkan kerana langkah ini memanfaatkan semula bahan-bahan buangan. Walaupun kualiti kertas yang dihasilkan dari pulpa terulang (pulpa sekunder) adalah tidak sebaik kualiti kertas dari pulpa dara, namun kertas yang dihasilkan sudah berkualiti baik dengan harga yang lebih murah.

Kategori:Skripsi Industri
%d blogger menyukai ini: